Blogger news

Senin, 17 Desember 2012

Pedoman Ketika menghadapi Musiba


Islam sebagai deen yang sempurna telah memberikan pedoman yang lengkap bagi manusia dalam menghadapi pelbagai peristiwa, baik suka mahu pun duka. Sabda Nabi SAW:

"Sungguh menakjubkan keadaan orang yang beriman, kerana semua perkara adalah baik baginya, dan itu tidak terjadi kepada sesiapa pun kecuali kepada orang yang beriman. Jika dia mendapat nikmat, dia bersyukur, maka itu baik baginya. Jika dia ditimpa musibah, dia bersabar, maka itu pun baik baginya." (HR Muslim).

Salah satu ajaran Islam adalah berkenaan bagaimana seseorang itu menghadapi musibah. Sebahagian ulama mendefinisikan musibah dengan makna: "segala apa yang dibenci yang terjadi pada manusia" (kullu makruuhin yahullu bi al-insan) (Ibrahim Anis, al-Mu’jam al-Wasith, h. 527). Musibah banjir, Tsunami, gempa bumi dan lain-lain benar-benar telah menyebabkan pelbagai perkara yang dibenci berlaku seperti robohnya rumah kediaman, kematian anggota keluarga, rosaknya perkakas rumah dan sebagainya.

Jadi, bagaimanakah Islam memberikan pedoman kepada kita apabila berlakunya musibah? Bagi sahibul musibah (yang terkena musibah), Islam memberikan pedoman sepertimana berikut :

1. Iman Dan Redha Terhadap Ketentuan (Qadha') Allah

Kita wajib beriman bahawa segala musibah yang berlaku seperti gempa bumi, banjir, wabak penyakit adalah ketetapan daripada Allah SWT di Lauhul Mahfuz. Kita juga wajib menerima ketentuan Allah ini dengan berlapang dada (redha). Allah SWT berfirman :

"Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Lauhul Mahfuz) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah." (TMQ al-Hadid [57] : 22)

Oleh sebab itu, adalah tidak benar jika ada orang berkata, “gempa bumi itu terjadi kerana ada roh yang sedang marah”. Sebaliknya, bencana itu berlaku kerana ia adalah ketentuan daripada Allah SWT dan bukannya ketentuan daripada sesiapa yang lain.

Kita wajib menerima takdir Allah ini dengan penuh redha, bukan dengan perasaan geram atau marah kepada Allah SWT misalnya dengan berkata, "Ya Allah, mengapa harus aku? Apakah dosaku ya Allah?". Sikap yang sedemikian adalah sangat biadap. Allah SWT berfirman :

"Dia (Allah) tidak ditanya tentang apa yang dilakukan, tetapi merekalah yang akan ditanya”
. [TMQ al-Anbiyaa` (21) : 23]

2. Sabar Menghadapi Musibah

Menurut Imam As-Suyuthi dalam tafsir al-Jalalain, sabar adalah menahan diri daripada segala apa yang dibenci (al-habsu li an-nafsi ‘alaa maa takrahu). Sikap inilah yang wajib dimiliki ketika kita menghadapi musibah. Selain itu, kita disunnahkan untuk  mengucapkan kalimat istirja’ (Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji'uun) ketika berlaku musibah. Allah SWT berfirman :

"Dan sesungguhnya akan Kami berikan ujian kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. Orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: "Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji'uun" . [TMQ al-Baqarah [2] : 155-156]

Oleh yang demikian, bersabarlah. Jangan sampai kita hilang perasaan sabar dengan berputus asa atau berprasangka buruk seakan-akan Allah tidak akan memberikan kita kebaikan pada masa hadapan. Ingatlah bahawa putus asa itu adalah su`uzh-zhan billah (berburuk sangka kepada Allah)! Su`uzh-zhan kepada manusia pun tidak dibolehkan, apatah lagi kepada Allah SWT. Na’uzubillahi min zalik.

Secara realitinya, orang yang ditimpa musibah akan mudah sekali terjerumus untuk bersikap putus asa (surah ar-Rum ayat 36). Allah SWT menegaskan bahawa sikap tersebut adalah sikap yang kufur sebagaimana firmanNya :

"Sesungguhnya tiada berputus asa daripada rahmat Allah melainkan kaum yang kafir." [TMQ Yusuf (12) : 87] .

3. Mengetahui Hikmah Di Sebalik Musibah

Seseorang Muslim yang mengetahui hikmah (rahsia) di sebalik musibah akan memiliki kekuatan mental yang baik. Berbeza dengan orang yang hanya memahami musibah secara cetek iaitu dengan hanya melihatnya secara zahir sahaja. Mentalnya sangat lemah dan mudah mengeluh atas segala musibah yang menimpa.

Antara hikmah musibah adalah untuk diampunkan dosa-dosanya. Sabda Rasulullah SAW :

"Tiadalah seorang Mukmin yang ditimpa musibah tertusuk duri atau lebih (teruk) daripada itu melainkan dengannya (musibah tersebut) Allah akan menghapuskan sebahagian daripada dosa-dosanya." [HR Bukhari dan Muslim]

Seseorang Muslim yang mati ditimpa bangunan atau tembok akibat gempa bumi adalah tergolong sebagai orang yang mati syahid. Sabda Nabi SAW :

"Orang-orang yang mati syahid itu ada lima golongan; (1) orang yang terkena wabak penyakit taun, (2) orang yang terkena penyakit perut (disentri, kolera, dsb), (3) orang yang tenggelam, (4) orang yang ditimpa tembok/bangunan, dan (5) orang yang mati syahid dalam peperangan di jalan Allah." [HR Bukhari dan Muslim].

"Akan diampuni bagi orang yang mati syahid segala dosa-dosanya, kecuali hutang." [HR Muslim].

Hikmah lain adalah jika anak-anak Muslim meninggal, kelak mereka akan masuk ke syurga. Sabda Nabi SAW :

"Anak-anak kaum Muslimin (yang meninggal) akan masuk ke dalam syurga." [HR Ahmad]

4. Tetap Terus Berikhtiar

Maksud ikhtiar ialah tetap melakukan pelbagai usaha untuk memperbaiki keadaan dan menghindarkan diri daripada sebarang bahaya yang muncul. Kita tidak disuruh untuk  berdiam diri atau pasrah berpangku tangan bertongkat dagu dengan menunggu bantuan datang ketika musibah menimpa kita.

Beriman kepada ketentuan Allah bukan bererti kita hanya duduk diam termenung dan meratapi nasib tanpa berusaha untuk mengubah apa yang ada pada diri kita. Allah SWT berfirman :

"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri." [TMQ ar-Ra’du (13) : 11].

Ketika berlakunya wabak penyakit di Syam, Umar bin Al-Khattab segera keluar dari negeri tersebut. Ketika ditanya kepadanya,"Adakah kamu hendak lari daripada takdir Allah?". Lalu Umar menjawab,"Ya, aku lari daripada takdir Allah ini untuk menuju kepada takdir Allah yang lain."

Rasulullah SAW juga memberi petunjuk bahawa segala bahaya (kemudaratan) wajib untuk dihapuskan (dihindarkan). Misalnya ketiadaan logistik, tempat tinggal, masjid, sekolah dan sebagainya. Nabi SAW bersabda, "Tidak boleh menimbulkan bahaya bagi diri sendiri dan bahaya bagi orang lain." [HR Ibnu Majah]

5. Memperbanyakkan Berdoa Dan Berzikir

Kita sentiasa dianjurkan untuk memperbanyakkan doa dan zikir bagi orang yang ditimpa musibah. Orang yang mahu berdoa dan berzikir adalah lebih mulia di sisi Allah daripada orang yang enggan atau malas. Rasululah SAW mengajarkan doa bagi orang yang ditimpa musibah: "Allahumma jurnii fii musiibatii wa akhluf lii khairan minhaa” (Ya Allah, berilah pahala dalam musibahku ini dan berilah ganti bagiku yang lebih baik daripadanya.) [HR Muslim].

Zikir juga dapat mententeramkan hati orang yang sedang gelisah atau yang mengalami tekanan. Allah SWT berfirman :

"Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah sahajalah hati menjadi tenteram."
[TMQ ar-Ra’du (13) : 28]

Antara zikir yang dianjurkan adalah dengan beristighfar "Astaghfirullahal ‘azhim". Sabda Nabi SAW :

"Barangsiapa memperbanyakkan istighfar, maka Allah akan membebaskannya daripada kesedihan, memberinya jalan keluar terhadap kesempitannya, dan akan memberinya rezeki daripada arah yang tidak disangka-sangkanya." [HR Abu Dawud].
 

6. Bertaubat

Tiada seorang hamba yang ditimpa musibah melainkan ia adalah akibat daripada dosa-dosa yang dilakukannya. Maka sudah semestinya dia perlu bertaubat nasuha kepada Allah SWT. Orang yang tidak mahu bertaubat setelah ditimpa musibah adalah orang sombong dan sesat. Allah SWT berfirman :

"Dan apa sahaja musibah yang menimpa kamu, maka ia adalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri, dan Allah memaafkan banyak (daripada kesalahan-kesalahanmu)." [TMQ asy-Syuura (42) : 30]
 

Sabda Nabi SAW:

"Setiap anak Adam mempunyai kesalahan (dosa). Dan sebaik-baik orang yang bersalah adalah orang yang bertaubat." [HR at-Tirmidzi].

Terdapat 3 rukun dalam melakukan taubat nasuha. Pertama, menyesali atas dosa-dosa yang telah dilakukan. Kedua, berhenti daripada melakukan perbuatan dosa-dosanya itu. Ketiga, berazam (tekad yang kuat) untuk tidak akan mengulangi lagi dosa-dosa tersebut di masa akan datang. Jika dosa-dosanya berkaitan hubungan sesama manusia seperti belum membayar hutang, pernah memfitnah atau mengumpat seseorang, pernah menyakiti perasaan orang lain dan sebagainya, maka rukun taubat ditambah satu lagi iaitu menyelesaikan masalah urusan sesama manusia dan memohon maaf.

7. Tetap Istiqamah Dengan Islam

Dalam setiap musibah yang berlaku, akan wujud pihak-pihak tertentu yang mengambil kesempatan dengan niat yang jahat. Contohnya perbuatan kotor berbentuk keagamaan seperti kristianisasi. Cara-cara yang dilakukan adalah dengan memberikan bantuan logistik, perubatan, wang, rumah dan sebagainya.

Ketahuilah bahawa semua itu tidak diberikan dengan tulus melainkan terdapat niat yang keji disebaliknya. Niat orang-orang kafir itu adalah bertujuan untuk memurtadkan orang-orang Islam supaya menjadi penganut agama Kristian sebagai balasan atas bantuan dan jasa yang telah diberikan. Na`uzu billahi min dzalik.

Di sinilah seseorang Muslim itu dituntut untuk terus bersikap istiqamah, iaitu konsisten di atas satu jalan dengan mengamalkan kewajiban-kewajiban dan meninggalkan larangan-larangan (mulazamah al-thariq bi fi’li al-wajibat wa tarki al-manhiyyat). Allah SWT telah mewajibkan kita untuk beristiqamah :

"Maka tetaplah kamu (di jalan yang benar) sebagaimana yang diperintahkan kepadamu dan orang yang telah bertaubat bersama kamu, dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Dia Maha Melihat apa yang kamu kerjakan". [TMQ Huud [11] : 112].

Muslim yang murtad (keluar daripada agama Islam) dan menjadi pemeluk Kristian (atau agama-agama lain yang lain) sebenarnya telah tertipu mentah-mentah baik di dunia mahupun di akhirat. Allah SWT berfirman :

"Barangsiapa yang murtad di antara kamu daripada agamanya, lalu dia mati dalam kekafiran, maka mereka itulah yang sia-sia amalannya di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya." [TMQ al-Baqarah [2] : 217]

Oleh kerana itu, adalah wajib bagi kita untuk terus beristiqamah dalam mempertahankan keislaman kita. Jangan mudah tertipu oleh pujuk rayu syaitan bertopengkan manusia. Jangan sesekali mati kecuali tetap memegang teguh dengan agama Islam. Allah SWT berfirman :

"Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dengan sebenar-benar takwa kepadaNya, dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Muslim." [TMQ Ali ‘Imraan [3] : 102]

Khatimah

Demikianlah Islam memberi pedoman kepada pemeluknya ketika ditimpa pelbagai musibah dalam kehidupan yang penuh pancaroba, khususnya bagi sahibul musibah (yang terkena musibah). Dengan berpegang teguh pada pedoman-pedoman Islam di atas, mudah-mudahan Allah SWT akan memberikan rahmat, hidayah dan ‘inayahNya kepada kita semua, insyaAllah. Amin ya rabbal 'alamin.

0 komentar:

Posting Komentar